SeLaMaT DaTaNg ke BLog ButTerFly_GurL87

Arwah Suami


“Punca kematian mangsa?”

“Mangsa disyaki membunuh diri tuan.”

“Bukti?”

“Ini buktinya tuan, mangsa mengelar tangannya dengan menggunakan pisau ini,” Halim mengeluarkan senjata yang berbungkus dalam plastik.

“Siapa yang jumpa mangsa?”

“Tukang kebun, tuan.”

“Sudah hubungi keluarga mangsa?”

“Sudah tuan.”


************************************************************************

“Lela, sabarlah ya nak,” Mak Som mengusap belakang Lela. Lela tersedu-sedan menahan tangis yang berlagu dihatinya kini. Kehilangan suami tersayang amat menyayat hatinya, belum pun genap setahun mereka mendirikan rumah tangga. Kini dia telah bergelar janda diusia begitu muda.

“Mak Som, Lela macam tak percaya aje abang dah tak ada lagi,” raungan Lela semakin kuat. Jika tadi tangis dapat ditahan, namun kini telah pecah.

“Lela....tak baik macam ni, meraung-raung pada orang yang dah mati,” Mak Som memujuk Lela sekali lagi. Pilu hatinya melihat keadaan Lela yang baru kehilangan suaminya.

“Sudahlah tu Lela, mari kita iring jenazah,” Mak Som memapah tubuh Lela yang lemah dan bertolak ke kubur untuk kebumikan jenazah suaminya.



“Lela betul ke kamu boleh tinggal sorang-sorang ni?” soal Mak Som yang keberatan untuk meninggalkan Lela seorang diri dirumah sebesar ini.

“Betul Mak Som, Lela tak kisah tinggal sorang diri kat sini. Lela tak sanggup tinggalkan rumah ni, banyak kenangan Lela dengan arwah kat sini,” ujar Lela menyedapkan hati tua Mak Som.

“Kalau dah macam tu kata Lela, apa boleh Mak Som katakan lagi. Pandai-pandailah Lela jaga diri, kalau perlukan apa-apa. Cakap aje dengan Mak Som, semoga Lela tabah menghadapi semua dugaan,” Mak Som berpesan pada Lela sebelum dia bertolak ke Kuantan.

“Mak Som jangan risau pasal Lela, pandailah Lela jaga diri sendiri. Mak Som tu jangan lupa jaga kesihatan, nanti kalau Lela senang, Lela jenguk Mak Som,” Lela tersenyum manis. Dia menunduk dan menyalami tangan tua Mak Som.

“Mak Som pergi dulu ya Lela. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Sesudah kelibat Mak Som dan teksi yang ditumpanginya hilang dari pandangan mata Lela, pintu rumah ditutup perlahan. Dia menghela nafas berat, terasa rumah yang didudukinya kini benar-benar kosong dan sepi. Tiada lagi gurauan nakal suaminya.

Lela memandang sepi rumah agam yang didiaminya seorang diri, rumah agam yang cukup besar untuk ditinggal oleh seorang diri. Namun apakan dayanya, rumah agam ini banyak kenangan bersama arwah suaminya.

Lela memanjat anak tangga satu persatu, dia menuju ke bilik utama dimana terletaknya bilik dia dan arwah suaminya. Lela memulas tombol pintu biliknya, dengan perlahan-lahan dia membuka pintu bilik. Langkah Lela terhenti seketika saat matanya singgah pada gambar perkahwinannya. Kelihatan Lela tersenyum manja disamping arwah suaminya, Bakri. Setitis air mata mengalir turun kepipi gebunya. Dia menyeka air mata itu.

“Abang, Lela rindukan abang.........”

************************************************************************

“Abang nak makan?”

“Mestilah nak, isteri abang masak sedap sehingga menjilat jari.”

“Ada jelah abang ni.”

“Lela masak apa hari ni?” soal Bakri yang cuba menghidu bau masakan Lela.

“Lela masak makanan kegemaran abanglah, ikan patin masak lemak dengan ayam goreng berempah,” Lela tersenyum melihat telatah suaminya yang kecur liur mendengar masakannya apatah lagi bau masakan yang menyengat hidung Bakri.

“Biar abang tolong Lela hidangkan,” Bakri menawar diri.

“Tiba-tiba aje baik hati hari ni,” Lela menduga Bakri.

“Tak ada apalah, abang dah lapar sangat ni,” Bakri dengan segera mencapai mangkuk yang berisi lauk ikan patin dari tangan Lela.

“Semua dah terhidang ni, apa lagi. Jom belasah....” Bakri dengan laju menyendok nasi ke dalam pinggan.

“Abang ni, baca doa dulu,” pesan Lela apabila melihat Bakri dengan laju hendak menggaulkan kuah dan nasi.

“Adoi...nasib baik ada Lela. Kalau tak tadi laju aje abang makan,” Bakri tergelak. Lela tersentak apabila mendengar bunyi lagu Bidadariku yang datang dari telefon bimbitnya. Lela segera berlari mendapatkan telefon bimbitnya, laju tangannya menekan butang hijau.

Bakri melihat sahaja tingkah laku Lela, dia seakan pelik melihat Lela yang menjauhkan diri darinya untuk bercakap dengan pemanggil. Timbul rasa curiga dihatinya namun ditepis perasaan itu sejauh mungkin.

“Maaf bang, kawan Lela telefon tadi. Dah lama tak bersembang, lamalah pula,” Lela memohon maaf dan mencapai sudu untuk mengambil lauk.

“Takpelah, makanlah Lela. Sendukkan abang nasi sikit, kesian Lela makan sorang-sorang pula. Biar abang temankan Lela makan,” Bakri menghulurkan pinggan pada Lela. Lela mencapai pinggan suaminya dan menyenduk nasi kepinggan suaminya.


************************************************************************

Lela tersedar dari lena, dengan terpisat-pisat dia bangun mendapatkan telefon yang berdering memanggil dirinya. Lela mencapai gagang telefon dan didekatkan pada telinganya.

“Helo.”

“Helo,” sapa Lela lagi. Tiada jawapan dari pemanggil, Lela menghempas gagang telefon. Telefon kembali berdering, dengan pantas Lela mengangkat gagang.

“Helo,” sapa Lela. Lela menunggu jawapan dari pemanggil, lama menanti. Lela meletak gagang.

Lela mendengus marah, dia mencapai tuala yang disangkut pada penyidai dan disangkutkan pada bahunya. Lela berjalan malas menuju ke tandas, belum pun sempat kakinya menjejak langkah ditandas. Dia dikejutkan dengan bunyi deringan yang nyaring, Lela berlari mendapatkan telefon.

“Helo.”

“Assalamualaikum Lela, Mak Som ni.”

“Waalaikumsalam, Mak Som rupanya. Lela ingatkan siapa tadi.”

“Mak Som cuma nak cakap, Mak Som dah sampai rumah ni. Baru kejap tadi, sebelum terlupa. Lela dah makan?” soal Mak Som lembut.

“Lela baru bangun tidur, nak mandi dulu. Karang baru Lela makan,” balas Lela.

“Yelah, Mak Som pun nak rehat ni. Jaga diri baik-baik,” pesan Mak Som.

“Baik Mak Som, Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Lela menggaru kepalanya yang terasa gatal, dengan rasa malas, dia bangun. Baru bangun telefonnya berdering lagi. Lela mencapai gagang dengan segera, bingit mendengar bunyi deringan telefon yang nyaring.

“Helo,” sapa Lela malas.

“Lela.....” terdengar suara yang amat dikenalinya dicorong telefon. Lela tersentak sebaik saja terdengar suara itu menyebut namanya.

“Abang.........”

************************************************************************

“Lela, abang nak tanya Lela sikit boleh?” soal Bakri sambil melabuhkan punggungnya disebelah Lela.

“Abang nak tanya apa? Tanyalah...”

“Lela ke mana siang tadi?” soal Bakri sedikit curiga.

“Lela ada dekat rumah sepanjang hari ni,” balas Lela sambil mata masih menatap televisyen.

“Lela jangan tipu abang, abang nampak Lela keluar dengan jantan mana siang tadi,” Lela terkedu. Perlahan-lahan dia menoleh menatap wajah suaminya.

“Apa abang cakap ni?” soal Lela.

“Abang cakap benda betul, takkan isteri abang sendiri pun abang tak kenal. Baik Lela mengaku dengan abang,” Bakri memaksa Lela.

“Baiklah, Lela mengaku. Lela keluar dengan kawan Lela siang tadi,” dengan kepayahan Lela berkata.

“Kenapa Lela tak mintak izin dengan abang untuk keluar dulu? Kalau dengan perempuan abang tak kisah, ini dengan lelaki.”

“Lela mintak maaf bang, Lela janji tak buat lagi lepas ni,” Lela menitiskan air mata.

“Kali ni abang maafkan, tapi ingat...lain kali Lela buat macam ni lagi. Abang takkan maafkan Lela lagi.

“Terima kasih bang...” Lela memeluk manja leher Bakri.

************************************************************************

Lela keluar dari tandas dengan hanya mengenakan tuala untuk menutupi tubuhnya. Dia bernyanyi-nyanyi kecil, sengaja dia menyanyi untuk menghilangkan perasaan takutnya yang melanda dirinya sebentar tadi.

Hari beransur gelap, malam bakal menjelma sebentar lagi. Rumah agam masih seperti siang tadi, sepi menggamit dirinya kini. Lela berjalan menuruni anak tangga, perutnya terasa kosong. Sejak dari siang tadi hanya roti saja yang mengisi perutnya, dia membuka peti ais dan mengeluarkan burger dan marjerin.

‘Cukuplah makan ni je malam ni,’ Lela menyediakan bahan untuk memasak. Setelah hampir 30 minit di dapur, dia membawa makanan ke depan sambil menonton televisyen.

‘Ala...air pula tak ambil tadi,’ Lela bangun dengan malas.

Zuuuuuuuppppppppp!

Lela terkejut apabila terasa seperti ada orang berlari selaju mungkin didepannya tadi. Degupan jantungnya menjadi kuat, dia menggagahkan diri melangkah ke dapur. Matanya liar memerhatikan sekeliling.

“Lela....”

“Lela....” sayup-sayup terdengar rintihan suara memanggil namanya. Lela berjalan dengan laju mengambil air dan segera beredar ke ruang tamu. Belum pun sempat dia sampai ke ruang tamu, sekali lagi dia dikejutkan dengan susuk tubuh ditepi berupa pocong. Lela terkejut dan menjerit dengan kuat, gelas ditangan terlepas dan berkecai menghempas lantai.

Lela beristighfar, dia memejamkan matanya sekuat mungkin cuba menghalau bayangan pocong yang mengganggunya. Perlahan-lahan dia membuka mata dan ternyata pocong itu telah hilang dari pandangan matanya.

“Betul ke apa aku nampak tadi? Mimpi aje kot,” dengan selamba Lela berjalan menuju ke ruang tamu seolah-olah tiada apa yang berlaku sebentar tadi.



“Lela....bangun Lela...abang datang nak jumpa Lela ni...” Lela dikejutkan dengan suara garau yang menampar gegendang telinganya. Lela membuka matanya, keadaan gelap menyukarkan dia melihat. Lela memetik suis lampu tidur yang terletak didinding sebelahnya.

“Kenapa tak menyala pula ni? Blackout ke?” Lela mencapai telefon bimbitnya dan membuka lampu suluh yang ada pada telefon bimbitnya. Dia bangun dan menuruni anak tangga ke dapur, lilin dan pinggan dicari. Setelah selesai dapat apa yang dicari, Lela menaiki anak tangga menuju kebiliknya.

“Ala, lupa ambil mancis pula tadi. Buatnya terpadam susah pula,” Lela berjalan dengan laju mengambil mancis yang terletak dalam laci dapur. Dia naik kebilik semula.

Lela merebahkan tubuhnya di atas katil. Matanya terkebil-kebil memandang siling atas, sukar baginya untuk melelapkan mata. Dia berkalih kekanan, kemudian kekiri. Dia mendengus kecil. Teringat akan arwah suaminya, Bakri akan memeluk erat tubuhnya jika dia tidak dapat tidur dan menunggu sehingga dia tertidur barulah Bakri akan tidur. Lela termenung dalam kesuraman cahaya lilin.

“Abang....”


Lela tersentak dari tidur tatkala mendengar dentingan jam yang menunjukkan pukul 2 pagi. Lela terjaga dari lenanya, dia memandang sekeliling. Tiba-tiba angin bertiup entah dari mana datangnya sekaligus memadamkan api lilin. Lela merungut kecil, dengan rasa geram dia bangun tetapi badannya terasa berat seolah-olah ditindih oleh sesuatu.

Dia cuba untuk bangun sekali lagi, ternyata gagal. Tubuhnya terasa sejuk, tiba-tiba hidungnya menangkap bau busuk seperti bau hanyir darah bercampur tanah. Jantungnya berdenyut dengan kencang, lehernya terasa hembusan nafas seseorang.

“Lela...abang datang ni,” telinga Lela menangkap suara yang cukup dikenalinya. Terasa dirinya tubuhnya dipeluk oleh seseorang. Lela memejamkan matanya seerat mungkin, cuba menepis gangguan.

“Lela....abang datang nak jemput Lela. Abang sepi tinggal sorang diri kat ‘sana’,” ujar suara itu lagi.

“Pergi...pergi...kau dah mati,” Lela cuba menghalau suara itu.

“Lela tak sayang abang ke?” sayu sekali suara itu bertanya.

“Pergi...jangan ganggu aku!” Lela menjerit memarahi suara itu lagi.

“Lela pandanglah abang.....abang rindu nak tatap wajah Lela...” Lela menggigil menahan takut. Perlahan-lahan dia menoleh memandang arah datang suara itu, alangkah terkejutnya dia sebaik saja melihat susuk dan wajah arwah suaminya yang menjelma dihadapannya kini.

Wajah arwah suaminya kelihatan begitu menakutkan sekali, seolah-olah terseksa. Mukanya berlubang-lubang dan darah mengalir menuruni pipi, mulutnya berbuih merah serta badan yang diselaputi oleh tanah. Lela ingin menjerit namun kerongkongnya seolah-olah disumbat sesuatu sehingga membuatkan dia tidak boleh berkata-kata.

“Kenapa Lela terkejut tengok abang?”

“Kau dah mati! Lepaskan aku!” Lela meronta-ronta. Dia berjaya melarikan diri dan turun ke dapur. Dia mencapai pisau sebagai senjata pertahankan diri.

“Lela....” muncul kelibat hantu suaminya dihadapannya.

“Apa kau nak?” soal Lela sambil mengayun pisau pada hantu suaminya.

“Sampai hati Lela buat macam ni pada abang, Lela dah tak sayang pada abang lagi ke?” rintih hantu itu.

************************************************************************

“Lela....!!!” Bakri menjerit memanggil Lela dan menaiki anak tangga menuju kebilik mereka.

“Lela!” keras suaranya ketika ini.

“Abang dah balik? Duduklah dulu, mesti abang penatkan, biar Lela buatkan air untuk abang dulu,” ujar Lela lembut.

Seketika kemudian Lela datang bersama dulang berisi air dan makanan. Lela meletakkan air di atas meja dibucu katil dan menghulurkan cawan berisi air pada suaminya. Bakri yang tadinya kelihatan berang, telah menjadi lembut sebaik saja memandang wajah Lela yang tersenyum manis.

“Minumlah bang, jangan tenung je. Kenapa abang jerit-jerit panggil Lela tadi?” soal Lela sambil menatap wajah suaminya yang tekun menghirup air.

“Abang nak tanya Lela fasal ni. Betul ke semua ni Lela?” soal Bakri lembut. Lela mengambil gambar yang diberi oleh Bakri kepadanya. Dia melihat satu persatu gambar, setelah selesai dia hanya tersenyum.

“Abang, kalau gambar ni betul. Apa yang abang nak buat?” soal Lela berani.

“Lela...kurang ajar kau!” Bakri kembali berang.

“Apa abang ni? Lela hanya bertanya, Lela tak cakap pun betul apa yang abang nampak dalam gambar tu,” Lela memegang pipi yang ditampar oleh Bakri.

“Maafkan abang Lela, abang tak sengaja,” Bakri memohon maaf. Dia mengusap pipi isterinya. Tidak semena-mena kepala Bakri terasa berputar-putar. Dia memejamkan dan membuka matanya berulang kali. Tangannya memicit kepalanya yang berdenyut.

“Lela...tolong abang. Kepala....” Bakri memegang kepalanya dan dipicit sekuat mungkin.

“Abang kenapa?” Lela tersenyum sinis melihat suaminya menahan sakit.

“Tolong abang Lela...”

“Buat apa aku nak tolong kau? Buang masa aku aje, baiklah. Memandangkan kau dah nak mampus sekejap lagi, biar aku bagi tahu kau rahsia aku yang kau tak tahu. Gambar yang kau bagi tadi memang gambar aku. Gambar aku dengan kekasih hati aku, kau tu cuma ‘lubuk emas’ aku je. Aku tak pernah ada hati pada kau, kalau tak disebabkan Mak Som yang terhegeh-hegeh suruh aku kahwin dengan kau, tak ingin aku bersuamikan kau tu. Nasib baik kau tu berharta, dan kalau kau mati sekalipun sudah tentu harta kau jatuh pada aku. Lepas tu aku berpeluang kahwin dengan kekasih aku dan kau....kau tu dah jadi mayat reput pun,” Lela memecahkan rahsia jahatnya pada Bakri yang sedang bertarung dengan sakit.

“Apa maksud kau, perempuan tak guna?!” soal Bakri berang.

“Aku dah campurkan racun dalam minuman kau tadi, dan kau pun dah selamat minum air tu. Terima kasih suamiku sayang atas segala pemberian selama ini dan akan datang tak lama lagi. Harta kau akan jadi milik aku dan kau akan tinggal dalam tanah buat selama-lamanya.”

“Jahanam kau perem.....” belum sempat Bakri menghabiskan ayatnya. Dia telah tersungkur di atas lantai dan menghembuskan nafas. Lela tersenyum kepuasan, dia ketawa sekuat-kuat hatinya.

************************************************************************

“Bukan aku yang bunuh kau, semua tu rancangan dia,” ujar Lela merujuk kepada kekasihnya.

“Lela...mari pergi dengan abang...” rayu lembaga berwajah suaminya.

“Aku tak mahu, jauhkan diri kau dari aku. Pergi......!!!!!!!” jerit Lela. Lembaga yang menyerupai arwah suaminya semakin menghampiri dirinya. Lela tidak dapat menahan rasa ketakutannya.

“Jangan rapat, kalau tak aku bunuh kau...”
“Abang sayang Lela...” Lela mengayun pisau ditangannya ke arah lembaga itu. Tidak berjaya, Lela cuba melarikan diri ke muka pintu. Belum sempat dia berbuat demikian sekali lagi muncul lembaga itu dihadapannya.

Akibat tidak tahan dengan gangguan yang menyelubunginya, Lela mengambil keputusan untuk mengelar tangannya. Dia nekad untuk membuat demikian dan akhirnya dia mengelar tangannya, darah memancut-mancut keluar dari pergelangan tangannya. Lela mati serta merta di situ.



“Kenapa dengan kau nak? Kenapa kau sanggup buat macam ni? Lela...” Mak Som merintih atas kehilangan Lela.

“Sudahlah arwah Bakri belum sampai 40 hari perginya dia. Inikan pula kamu tinggalkan kami semua di sini,” Mak Som mengelap air matanya dengan hujung lengan baju yang dipakainya.

Mayat Lela dibawa pergi oleh ambulans ke hospital. Mak Som memandang pilu pemergian Lela. Kelihatan pihak polis masih berlegar-legar di rumah agam mereka

4 komen:

Suhaidah Tan berkata...

okey bez2..baru tahu c lela jahat sangat

penakut berkata...

mengerikan citer awak..sakit jantung saya....

yellow berkata...

besh2..:x truskn yer..

ButTerFly_GurL87 berkata...

tq 4 komen...:D

To Use A Smiley In Your Comment, Simply Add The Characters Beside Your Choosen Smiley To The Comment: :)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Catat Ulasan